Saturday, September 21, 2019

Masjid Jamek Kuala Lumpur



Masjid ini dibina pada tahun 1909 , ia merupakan salah satu di antara masjid yang tertua di Kuala Lumpur. Pembinaannya direka bentuk dan diselia oleh Pemangku Arkitek Kuala Lumpur, Arthur Benison Hubback, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Kerja Awam di India. Masjid ini memudahkan kakitangan kerajaan beragama Islam mengerjakan solat lima waktu dan solat Jumaat.

Seni bina masjid ini menjadikan ia sebagai mercu tanda bandaraya Kuala Lumpur. Masjid ini tidak dapat diperbesarkan kerana dihimpit oleh Sungai Klang dan Sungai Gombak. Awalnya ,mereka yang hendak solat perlu mengambil wuduk di bucu pertemuan sungai. Beberapa lapis tangga dibina ke dalam sungai untuk memudahkan orang ramai mengambil air sembahyang.

Reka bentuk masjid ini menurut tata rajah tradisional India Utara dengan dewan solat terbuka ke arah laman tertutup atau "sahn". Masjid ini diapit dengan dua menara dan beberapa menara lebih kecil. Kubah bebawang di kemuncak dewan solat dan di kemuncak menara menyerupai seni bina Moghul.

Masjid Jamek adalah contoh seni bina "rasmi" British di Malaysia, yang membabitkan gabungan unsur Moor dan Mughal. Belang merah dan putih dinding batu sama seperti Masjid Jamek di Cordoba, Sepanyol membentuk dinding luar masjid. Persamaan lain dengan masjid Moor boleh dilihat pada gerbang bertiang dalam bentuk berpetak dan perincian dengan selang jalur batu-bata, plaster dan marmar.

No comments:

Post a Comment